Games/ms

From Minetest Wiki
< Games
Revision as of 18:46, 9 April 2021 by Voxel (talk | contribs)
Jump to navigation Jump to search
Languages Bahasa: English • français • italiano • 日本語 • Bahasa Melayu

Dengan Minetest, anda boleh jalankan dan bermain permainan (dahulunya dipanggil “subpermainan”), yang lengkap dengan pengalaman interaktif yang mampu dimainkan. Ini dianggap sebagai salah satu ciri utama Minetest.

Permainan asal ialah Games/Minetest Game/ms, tetapi ada banyak lagi permainan lain.

Pengenalan

Keterangan

Apa yang dipanggil “permainan” dalam Minetest boleh, secara amalinya, menjadi pelbagai benda yang berbeza: Ia boleh menjadi permainan bermatlamat, atau kotak pasir, suai gambar, gabungan perkara tersebut atau sesuatu yang berbeza terus. Permainan boleh dipilih dan dilancarkan melalui menu utama secara terus atau berdiri dengan sendirinya. Minetest juga membenarkan kesemua permainan tersebut diluaskan fungsi dan diubah suai dengan penggunaan mods. Pentakrifan asas “permainan” dalam Minetest ialah “apa saja yang anda masukkan ke dalam direktori ‘games dan dilancarkan daripada menu utama”.

Secara teknikalnya, sebuah permainan sangat ringkas: Di peringkat dalaman, permainan itu sendiri ialah koleksi pelbagai mods (yang dipakejkan siap-siap) dan beberapa fail tambahan (selalunya untuk imej menu utama), tetapi dibungkus bersama untuk menyediakan pengalaman interaktif lengkap yang boleh digunakan secara terus. Apabila pemain memulakan permainan, kesemua mods yang dibungkus bersama permainan tersebut akan digunakan.

Tangkapan Layar

Untuk memberikan gambaran mengenai kepelbagaian permainan yang boleh dibuat dalam Minetest, disertakan galeri tangkapan layar daripada pelbagai permainan:

Template:Game gallery/ms

Contoh permainan

Artikel utama: Senarai permainan

Inilah permainan asal dalam Minetest. Ianya sebuah kotak pasir yang agak mudah tanpa sebarang arah tuju. Ia mempunyai beberapa biom untuk diterokai, 6 bijih untuk dilombong, sebuah sistem perladangan yang mudah dengan 2 tumbuhan yang boleh ditanam, pokok yang berbeza, dan banyak lagi. Anda boleh menggunakan bot dan pedati untuk bergerak lebih laju. Tidak ada sebarang haiwan atau musuh janaan komputer, jadi permainannya agak aman damai. Ia mempunyai semua jenis blok dan item serta kebanyakan benda lain yang anda boleh jumpa dalam wiki ini.

Gabungan “kotak pasir voksel” dan genre permainan lakon peranan yang mengambil tempat di kawasan Middle Earth dalam kisah triologi Lord of the Rings oleh J. R. R. Tolkien.

Sebuah simulasi berdekatan planet Zuhal (Saturn). Anda mengawal sebuah kapal angkasa kecil dan boleh terbang dalam kesemua tiga dimensi (sama seperti dalam angkasa) dan melombong bijih di asteroid, membuat penghantaran pakej di antara stesen angkasa yang berbeza, tatar (upgrade) kapal anda atau melawan musuh. Ianya sangat berbeza dari permainan yang lain.

Ini pula sebuah lagi permainan yang kebanyakannya kotak pasir, tetapi lebih mencabar daripada yang lain. Anda bermula dari planet Hades yang penuh dengan gunung api berserta lautan lava yang luas dan pembentukan rupa bumi yang tandus. Pergi melombong dan gunakan kemahiran pertukangan dan pembinaan untuk menukarkan tanah tersebut menjadi kawasan tempat tinggal yang indah.

Permainan ini bukannya untuk dimainkan, tetapi hanya untuk tujuan percubaan dan pembangunan. Ia bukanlah permainan.

Sila lihat Forum Minetest untuk senarai permainan yang lebih lengkap.

Manual pengguna

Menggunakan permainan

Sekiranya anda sudah mempunyai beberapa permainan, ini cara untuk menggunakan permainan:

  1. Mulakan Minetest
  2. Pada bar ikon permainan (4), klik pada permainan yang anda ingin main. (Ketika mula kali pertama, permainan Minetest Game telah dipilih terlebih dahulu)
  3. Cipta dunia baru dengan mengklik “Buat Baru” atau “New”.
  4. Masukkan nama dunia, pilih Penjana peta (atau Map generator) dan tekan “Cipta” atau “Create”.
  5. Klik pada “Mula Main”

Di sini menu mod pemain perseorangan berserta nombor, dalam kedua-dua contoh ini pengguna telah memasang banyak permainan.

Contoh dalam bahasa Inggeris:

Menu utama bahasa Inggeris

Contoh dalam bahasa Melayu:

Menu utama bahasa Melayu

  • 1: Banting permainan: Selalunya di sini akan naik logo tulisan permainan semasa. Untuk kes ini, ianya “Minetest Game”
  • 2: Ikon Minetest Game: Ini ikon untuk Minetest Game, permainan lalai
  • 3: Nama permainan: Nama permainan yang aktif waktu semasa
  • 4: Bar ikon permainan: Setiap ikon mewakili sebuah permainan, klik pada ikon untuk memilih permainan yang baru, klik pada anak panah untuk bergerak ke kiri atau kanan
  • 5: Senarai dunia: Hanya sah untuk permainan yang dipilih ketika itu sahaja
  • 6: Tetapan asas

Mencari permainan

Permainan pertama yang anda sudah ada ialah Minetest Game. Mencari permainan baru itu senang sahaja. ;-)

Tempat utama untuk mencari permainan ialah di Forum Minetest. Hampir semua orang yang mencipta permainan akan menulis tentang permainan mereka di dalam aliran forum di bawah (semuanya dalam bahasa Inggeris):

Anda boleh juga melihat permainan di laman web lain sekiranya anda berasa susah untuk mencari dalam forum. Namun begitu, halaman-halaman ini selalunya tidak lengkap.

Memasang permainan

Kebiasaannya permainan diedarkan dalam arkib Zip (format arkib lain seperti .tar.gz pun boleh digunakan). Ikut langkah berikut untuk memasang permainan daripada arkib:

  • Dapatkan arkib yang mengandungi permainan yang anda mahukan
  • Ekstrak (atau nyahzip) arkib tersebut ke dalam subdirektori Minetest yang bernama games. Lokasi direktori ini bergantung kepada sistem pengoperasian anda:
    • GNU/Linux: $HOME/.minetest/games, di mana “$HOME” merujuk kepada direktori rumah anda.
    • Mac OS: $HOME/.minetest/games, di mana “$HOME” merujuk kepada direktori rumah anda.
    • Windows: ke dalam folder games yang dijumpai dalam folder atur cara utama di mana anda telah pasangkan Minetest. Ianya folder yang mempunyai folder lain seperti bin (yang kemudiannya mempunyai minetest.exe), builtin, client, doc, fonts, games, locale, mods, textures, dll.

Permainan sepatutnya telah dipasang dan akan dipaparkan selepas anda memulakan semula Minetest.

Sekarang permainan baru anda telah dijumpai dan dipaparkan dalam Minetest. Anda boleh memilih permainan baru dalam mod pemain perseorangan dengan menekan salah satu ikon di bahagian bawah atau dengan mencipta dunia baru.

Bermain atas pelayan

Anda juga boleh “mencari” permainan dengan menyertai pelayan yang telah diubah dengan banyak. Walaupun kebanyakan pelayan mengehoskan Minetest Game atau (kemungkinan besar) permainan sama dengan perubahan mods, ada juga sesetengah pelayan yang mengehoskan permainan yang lain. Dengan cara Minetest dibuat, setiap pelayan boleh menjadi sangat unik. Menyertai sebuah pelayan merupakan cara yang bagus untuk melihat permainan yang boleh dimainkan melalui Minetest dengan segera tanpa perlu memasang permainan secara manual.

Pencarisilapan

Untuk membantu anda mencari lokasi yang betul, disertakan contoh senarai direktori untuk membantu anda pastikan permainan telah dipasangkan ke dalam direktori yang betul. Dalam rajah ini, direktori permainan ditulis sebagai “<PERMAINAN>”. Setelah dipasang dengan betul, pepohon direktori patut kelihatan lebih kurang sama seperti ini (ambil perhatian bahawa sesetengah fail dan direktori hanyalah pilihan dan mungkin tidak ada, tetapi kesemua direktori mestilah berada dalam kedudukan yang betul dalam pepohon sekiranya ada):

minetest/
├── bin/
├── builtin/
├── (direktori lain yang tidak menarik)
├── games/
│   ├── <PERMAINAN>
│   │   ├── mods/
│   │   │   └── (selalunya ada banyak direktori mod)
│   │   ├── menu/
│   │   │   └── (beberapa fail PNG)
│   │   └── game.conf
│   └── <PERMAINAN YANG LAIN>
        └── (direktori yang sama seperti permainan di atas)

Ambil perhatian bahawa nama direktori permainan tidak perlu dikisahkan; anda boleh juga menukar nama selepas pemasangan awal. Namun menamakan semula direktori permainan selepas bermain tidak digalakkan kerana Minetest tidak akan jumpa dunia yang telah dimainkan untuk permainan tersebut.

Anda juga boleh menggunakan pemboleh ubah persekitaran MINETEST_GAME_PATH untuk mentakrifkan lokasi direktori games, tetapi selalunya benda ini tidak diperlukan.

Mencipta permainan

Bahagian ini diambil dari halaman wiki pembangun bahasa Inggeris [1].

Permainan Minetest ada di dalam subdirektori games/. Untuk mencipta sebuah permainan yang baru, ciptakan folder baru dalam direktori ini dengan nama tanpa selang (gunakan garis bawah "_" untuk menggantikan selang jika mahu). Dalam folder ini, cipta dua buah folder dan dua buah fail.

  • Folder mods/ di mana mods untuk permainan, iaitu kandungan sebenar, akan dimasukkan.
  • Folder menu/ yang memegang beberapa benda diperlukan untuk menu utama Minetest.
  • Fail game.conf yang digunakan untuk mentakrifkan nama permainan yang akan dipaparkan dalam menu utama Minetest. Buka fail ini dengan penyunting teks dan masukkan satu baris: "name = letakkan nama permainan anda"
  • Anda boleh pilih untuk menyertakan juga fail minetest.conf yang membolehkan anda menetapkan pilihan yang Minetest akan gunakan. Fail ini boleh mengatasi beberapa pilihan lalai yang ada.

Sebarang fail dan folder yang lain tidak akan dipedulikan oleh Minetest. Namun anda disyorkan untuk memasukkan fail readme.txt untuk menjelaskan permainan dan menulis nama pencipta bersama versi terbitan.

Folder menu

Folder menu membolehkan anda menyediakan imej yang akan digunakan di menu utama.

  • background.png, jika ada, akan digunakan sebagai latar belakang menggantikan animasi awan yang asal. Imej ini akan disaiz semula untuk meliputi keseluruhan tetingkap Minetest.
  • header.png, jika ada, akan menunjukkan imej pengepala, selalunya berupa tulisan yang digayakan, di hadapan latar belakang.
  • icon.png ialah imej bersaiz 48² piksel yang akan digunakan dalam senarai pemilihan permainan yang membantu untuk mengaitkan permainan tersebut.

Folder mods

Sebarang mods dan pek mods yang diperlukan untuk permainan mestilah dimasukkan ke dalam folder ini. Pastikan setiap kebergantungan mods dipenuhi atau permainan tersebut akan runtuh.

Minetest akan mencari fail tekstur dengan nama yang tertentu. Sekiranya ia tidak dijumpai di dalam mana-mana folder tekstur mods, sejenis ralat akan dipaparkan dan imej semu akan dicipta.

  • crack_anylength.png
  • heart.png
  • player.png
  • player_back.png

Maklumat struktur folder dan fail di dalam permainan

Contoh ini mempunyai permainan asal Minetest Game (nama direktori “minetest_game”) dan Minimal development test (nama direktori “minimal”) dipasangkan serta menunjukkan struktur yang boleh dibuat dalam sebuah permainan ciptaan sendiri bernama “permainan_saya”:

    games/
    ├── minetest_game/
    │   ├── game.conf
    │   ├── README.txt
    │   ├── menu/
    │   │   ├── header.png
    │   │   └── icon.png
    │   └── mods/
    │       ├── sesetengah_mods
    │       ├── sesetengah_mods_lain
    │       └── …
    ├── minimal/
    │   ├── game.conf
    │   ├── menu/
    │   │   ├── background.png
    │   │   ├── icon.png
    │   │   └── …
    │   └── mods/
    │       ├── sesetengah_mods
    │       ├── sesetengah_mods_lain
    │       └── …
    ├── permainan_saya/
    │   ├── game.conf
    │   ├── minetest.conf
    │   ├── README.txt
    │   ├── LICENSE.txt
    │   ├── menu/
    │   │   ├── background.png
    │   │   ├── footer.png
    │   │   ├── header.png
    │   │   ├── icon.png
    │   │   ├── overlay.png
    │   │   └── …
    │   └── mods/
    │       ├── LICENSE.txt
    │       ├── sesetengah_mods
    │       ├── sesetengah_mods_lain
    │       └── …
    └── permainan yang lain